Lawatan negara Sultan Brunei ke Malaysia bermula esok

Lawatan negara Sultan Brunei ke Malaysia bermula esok

SULTAN Hassanal Bolkiah (kiri) dan Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia bermula esok hingga 28 Ogos ini.

Lawatan itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut Wisma Putra, Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta disertai menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei.

Dalam lawatan berkenaan, Sultan Brunei turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 27 Ogos, sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-26.

“Rundingan ini merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei Darussalam yang memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama, membincangkan isu tertunggak dan bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wisma Putra, lawatan negara dan rundingan tahunan tersebut mencerminkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara yang telah terjalin sekian lama.

Katanya, ia juga bertujuan memperkukuh usaha bersama dalam mempertingkatkan kerjasama strategik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Ketibaan baginda akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada 26 Ogos diikuti dengan Kunjungan Menghadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Satu majlis jamuan negara turut diadakan bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasi,” katanya.

Pada 2024, Brunei Darussalam merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, nilai dagangan antara Malaysia dan Brunei Darussalam mencatatkan jumlah USD0.69 bilion (RM3.02 bilion), merangkumi eksport bernilai USD0.50 bilion (RM2.18 bilion) dan import sebanyak USD0.19 bilion (RM0.84 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN