PETALING JAYA: Di saat ramai memuji keanggunan penyanyi, Aisha Retno mengenakan skirt batik paras betis ketika menyertai acara Keretapi Sarong 2026, semalam, terdapat segelintir pihak yang meluahkan rasa kurang senang dengan penampilannya.
Situasi tersebut mula tercetus apabila pelakon senior, Fazlina Ahmad Daud menegur penampilan penyanyi itu yang disifatkan terlalu singkat dan tidak sesuai.
“Kain batik itu panjangkan sikit adik. Lain macam apabila pendek begitu. Fesyen begitu tidak manis. Kalau mahu senteng paras buku lali itu okey lagi.
“Yang ini atas sangat. Buat skirt pendek terus dari kain itu,” katanya di ruangan balas sebuah perkongsian di Threads.
Enggan tegurannya disalah erti, Fazlina turut menasihati pereka fesyen agar lebih peka dalam menghasilkan busana yang menjadi simbolik warisan tempatan.
“Harap pereka fesyen ambil perhatian. Kita tegur secara elok. Semoga pakaian tradisi kita terpelihara. Teguran ini pun untuk pereka fesyen juga,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan pandangan pelakon tersebut.
Pun begitu, pelakon, Zila Bakarin turut tampil mempertahankan kreativiti Aisha dalam memperagakan kain batik ketika membuat persembahan.
“Nama pun fesyen. Sekurang-kurangnya dia ada juga pakai kain batik ketika menyanyi. Kita mampukah? Silap-silap di rumah kain batik pun tiada,” selorohnya.
Terdahulu, seorang individu tampil memuat naik sebuah video penampilan Aisha ketika menghadiri acara Keretapi Sarong 2026, namun perkongsian tersebut meraih reaksi positif dan negatif dari kalangan netizen selepas melihat penampilannya mengenakan kebaya serta kain batik berwarna jingga.









