ALOR GAJAH 2 Ogos – Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditungganginya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Lesung Batu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, Mohd. Amirrul Ukqmal Azaar, 21, pekerja kilang automobil meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dalam perjalanan dari arah Machap Baru menghala ke Alor Gajah.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangnya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah MPV jenis Perodua Alza.
“Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu wanita terbabit yang berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











