KUALA LUMPUR 1 Ogos – Lembaga Pengarah Utusan Melayu Malaysia Bhd, (UMMB) memaklumkan syarikat kini masih dalam proses
merumuskan pelan regularisasinya dan tidak ada perkembangan utama lain selepas pengumuman yang dibuat sebelum ini bertarikh 1 Julai 2019.
UMMB berkata, syarikat perlu mengemukakan pelan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk diluluskan sebelum 20 Ogos 2019.
“Kecuali dinyatakan sebaliknya, semua definisi dan istilah yang digunakan dalam pengumuman ini akan mempunyai makna yang sama seperti yang dinyatakan dalam pengumuman PN17 terdahulu.
“Kami merujuk kepada pengumuman bertarikh 20 Ogos 2018, 3 September 2018, 1 Oktober, 2018, 1 November 2018, 1 Disember 2018, 2 Januari 2019, 31 Januari 2019, 1 Mac 2019, 1 April 2019, 2 Mei 2019, 31 Mei 2019 dan 1 Julai 2019 berhubung dengan syarikat yang diklasifikasikan sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas di bawah PN17,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











