KUALA LUMPUR 2 Ogos – Orang diparol (ODP) yang ditempatkan di sektor-sektor swasta di bawah program Corporate Smart Internship (CSI) diberi jaminan bayaran gaji minimum dan mengikut kelayakan masing-masing.
Ini kerana ODP berkenaan bukan pekerja murahan sebaliknya dilatih selain syarikat-syarikat yang mengambil bahagian turut diberi insentif cukai.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, syarikat-syarikat swasta perlu lebih banyak tampil dan perlu menyedari mengenai kemudahan insentif yang ditawarkan kerajaan ini.
“Banduan-banduan ini dilatih. Mereka (ODP) bukan macam pekerja murahan sahaja.
“Saya harap program ini (CSI) dapat dipertingkatkan. Kita ikut peraturan, gaji minimum RM1,400 bagi mereka yang layak. Kalau ada buat kerja-kerja lain, ada elaun-elaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Program Corporate Smart Internship (CSI) Jabatan Penjara Malaysia di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Timbalan Komisioneri Jeneral Penjara Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan.-UTUSAN ONLINE











