KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sektor hartanah masih berdepan prospek lemah dan menemui jalan buntu dengan penganalisis berpendapat isu hartanah tidak terjual yang semakin meningkat masih membelenggu pasaran.
Secara dasarnya, harga rumah di Malaysia adalah mahal untuk sebahagian besar rakyat Malaysia apabila Indeks Harga Rumah (HPI) suku pertama 2019 meningkat 193.6 mata kepada RM417,670 dan hanya enam negeri sahaja menunjukkan HPI di bawah RM250,000.
Menurut data suku pertama 2019 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), situasi kediaman siap dibina tidak terjual juga kekal tinggi dari segi jumlah dan nilai dengan masing-masing meningkat 5.5 peratus dan 4.1 peratus suku ke suku kepada 54,708 unit bernilai RM37.23 bilion.
Rumah kediaman dan pangsapuri perkhidmatan membentuk sebahagian besar unit siap dibina tidak terjual yang mewakili 61 peratus dan 24 peratus dari segi jumlah atau 85 peratus secara keseluruhan dan 54 peratus serta 27 peratus dalam nilai atau 81 peratus daripada nilai tidak terjual.
Negeri paling tinggi merekodkan jumlah unit tidak terjual ialah Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebanyak 74 peratus dari segi jumlah dan 83 peratus daripada keseluruhan nilai.
Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, isu inventori hartanah yang tinggi akan terus memberi tekanan kepada pasaran dalam tempoh terdekat walaupun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kemungkinan dapat membantu mengurangkan unit tidak terjual ini.
“Kami berpendapat, peningkatan inventori ini akan mengakibatkan pasaran hartanah kekal sebagai pasaran pembeli dalam tempoh terdekat memandangkan pemaju perlu meneruskan usaha pemasaran yang agresif seperti menawarkan diskaun bagi menarik pembeli hartanah,” katanya dalam nota kajian.
Data NAPIC menunjukkan unit kediaman siap dibina tidak terjual semakin meningkat sejak suku keempat 2017 dan ia melepasi 30,000 unit pada suku ketiga 2018.
Sementara itu, Penganalisis Maybank IB Research, Wong Wei Sum berkata, walaupun jualan hartanah meningkat pada 2018 dan 2019 yang didorong langkah pemasaran agresif dan HOC, namun pihaknya tidak menjangkakan sebarang pemulihan ketara dalam sektor tersebut.
Ini kerana, menurutnya, sentimen pembelian masih dipengaruhi pertumbuhan global yang perlahan dan ketidaktentuan faktor luaran.
Dalam masa sama, katanya, permintaan hartanah lelong turut memberi kesan kepada persekitaran pasaran yang mencabar terutama kepada pemaju.
“Pemaju ketika ini sudah berdepan dengan prospek ekonomi mencabar dan juga unit hartanah tidak terjual. Ini memerlukan mereka menawarkan lebih banyak rebat atau insentif lain seperti rumah dilengkapi perabot dan skim sewa untuk miliki (rent to own). Pastinya, keadaan ini memberi kesan kepada margin dan aliran tunai mereka,” katanya.
HOC dilancarkan pada 1 Mac lalu dengan sasaran untuk mengurangkan stok hartanah tidak terjual dan sepatutnya berakhir pada Jun. Tetapi, kerajaan melanjutkan kempen ini sehingga Disember 2019.
Bagaimanapun, menurut Wei Sum, impak daripada kempen itu kemungkinan tidak seperti yang pernah dilancarkan pada 1998-1999 disebabkan beberapa faktor terutama hutang isi rumah yang tinggi.
“Tahun lalu, hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 83 peratus berbanding 63.5 peratus pada 2002. Pada 1998 pula, ia berada pada 43.1 peratus manakala 1999, 42 peratus.
“Pendedahan bank kepada pinjaman gadai janji juga adalah tinggi iaitu 47.2 peratus daripada jumlan pinjaman pada tahun lalu berbanding 21.6 peratus pada 1998, justeru, bank-bank kemungkinan tidak akan mengembangkan pinjaman gadai janji secara agresif untuk memastikan kepelbagaian portfolio yang lebih seimbang,” katanya.
Jelas beliau, HOC 2019 juga hanya menawarkan hartanah kediaman dan kategori harga tertentu berbanding pada 1998 dan 1999 yang turut merangkumi hartanah komersial seperti rumah kedai, ruang niaga di pusat beli-belah, bangunan industri dan kilang.
HOC kali pertama dilancarkan 12 Disember 1998 selama sebulan untuk mengurangkan kediaman tidak terjual dan merekodkan jualan sekitar 93,600 unit manakala kali kedua pula pada 20 Oktober hingga 7 Disember 1999.
Data menunjukkan kedua-dua kempen ini meningkatkan jualan hartanah kediaman sebanyak 33 peratus pada 1999 dan jumlah unit tidak terjual menurun 45,500 unit pada Jun 2000.
Namun, dalam tempoh enam bulan HOC 2019, ia merekodkan hasil kurang memberangsangkan dengan hanya 1,144 hartanah terjual (daripada 32,000 unit) bernilai RM650.87 juta setakat 7 Jun 2019.











