Formula Dr. Mahathir atasi kegawatan ekonomi - Utusan Malaysia

Formula Dr. Mahathir atasi kegawatan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDANGAN Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa krisis mata wang adalah berpunca daripada serangan spekulator atau penyangak mata wang antarabangsa ternyata berasas apabila pada 28 Oktober 1997 berlaku kejatuhan saham dunia secara serentak yang melibatkan Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Kejatuhan saham ini mengakibatkan bursa saham Hong Kong susut 1211.47 mata kepada 10,426.30 iaitu kerugian nilai sebanyak AS$30 bilion. Manakala saham Nikkei Jepun merosot 4.3 mata apabila purata sahamnya jatuh kepada 725.67 untuk ditutup kepada 16,312.69. Ia merupakan pertama kali sejak Ogos 1995, indeks tersebut jatuh ke paras 16,500 mata .

UTUSAN MALAYSIA melaporkan “RM60b sokong BSKL” bagi membendung kejatuhan saham pada 4 September 1997
UTUSAN MALAYSIA melaporkan “RM60b sokong BSKL” bagi membendung kejatuhan saham pada 4 September 1997.

Pasaran Dow Jones New York pula jatuh 350 mata dan kali kedua menjunam 550 mata iaitu sejak 17 Oktober 1997 mengakibatkan kerugian AS$19.7 bilion. Bursa saham Singapura jatuh 7.6 mata atau 122.87 mata kepada paras paling rendah dalam tempoh lima tahun iaitu 1497.03. Di Bangkok harga-harga saham jatuh kepada 6.2 peratus terendah sejak Jun 1997, di mana jatuh 30.21 mata kepada 460.80. Kejatuhan ini turut berlaku di Australia yang jatuh 177.8 mata kepada 2299.2 setelah mencecah ke paras terendah 2210.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ahmad Atory Hussain dalam buku Analisis Dasar Awam: Peranan Kerajaan Mengatasi Masalah Ekonomo Dalam Sistem Pasaran Bebas (2000), situasi ini membuktikan kebenaran pendapat Dr. Mahathir bahawa pasaran saham dan mata wang boleh jatuh merudum bila-bila masa sahaja akibat serangan spekulator atau penyangak antarabangsa yang bermaharajalela tanpa ada satu mekanisme tertentu di negara yang terlibat bagi menangkis serangan itu.

“Dengan tersungkurnya saham-saham dunia itu, maka sekali lagi kepimpinan Dr. Mahathir teruji dan pihak-pihak tertentu mula sedar akan kebenaran pendapat Dr. Mahathir dalam mengenal pasti punca sebenar kejatuhan nilai mata wang” (Ahmad Atory Hussain 2000: 152).

Menurut Ahmad Atory, George Soros sendiri dilaporkan telah mencadangkan supaya urus niaga mata wang dikawal selia kerana beliau sendiri turut mengalami kerugian AS$2 bilion akibat kejatuhan mata wang itu.

Setelah beberapa bulan dilanda kegawatan ekonomi dan pelbagai usaha dijalankan untuk mengatasinya, kerajaan di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah melancarkan beberapa dasar ekonomi bagi mengatasi kegawatan ekonomi tersebut.

Utusan Malaysia pada 4 September 1997 menyiarkan tajuk utama di muka hadapan: “PM umumkan pakej kawal kejatuhan harga saham. RM60b sokong BSKL”.

Utusan Malaysia melaporkan kerajaan mengumumkan pakej kewangan bernilai RM60 bilion bagi menyokong pasaran saham yang terhakis teruk akibat kejatuhan nilai ringgit dan manipulasi spekulator.

Dr. Mahathir berkata, pakej itu akan membeli saham-saham yang dijual oleh pelabur-pelabur tempatan pada harga premium yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Bagaimanapun bagi saham-saham yang dimiliki oleh pelabur asing, Perdana Menteri menegaskan kerajaan hanya akan membeli saham mereka pada harga semasa.

Langkah itu yang disifatkan beliau sebagai ‘usaha untuk mempertahankan ekonomi negara’, Dr. Mahathir berkata dana RM60 bilion dalam pakej itu datang daripada agensi kerajaan dan Khazanah Holdings.

UTUSAN MALAYSIA menyiarkan tajuk: “Nilai ringgit ditetap” sebagai usaha terakhir untuk memulihkan ek
UTUSAN MALAYSIA menyiarkan tajuk: “Nilai ringgit ditetap” sebagai usaha terakhir untuk memulihkan ekonomi negara pada 2 September 1998. 

Akhbar Utusan Malaysia pada 2 September 1998 pula menyiarkan tajuk di muka hadapan: “Nilai ringgit ditetap. Usaha terakhir untuk memulihkan ekonomi negara.

Utusan Malaysia melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan langkah drastik menetapkan sendiri nilai pertukaran ringgit bagi membendung kegiatan spekulator.

Serentak dengan itu kerajaan juga akan mengenakan kawalan terhadap pertukaran wang asing ke atas ringgit bagi memulihkan ekonomi negara yang gawat selepas serangan spekulator asing.

Langkah-langkah itu yang disifatkan oleh Dr. Mahathir sebagai usaha terakhir untuk memulihkan ekonomi negara antara lain menghendaki mereka yang menyimpan ringgit di luar negara membawa balik wang itu dalam tempoh sebulan mulai 2 September 1998.

“Jika gagal membawa balik wang dalam tempoh tersebut, mereka akan menghadapi kerugian kerana nilainya akan lupus.

“Tujuan kerajaan berbuat demikian adalah untuk menstabilkan mata wang itu dan mengurangkan risiko mata wang tersebut dimanipulasi di pasaran terbuka” (Utusan Malaysia 2 September 1998).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini