Doktor kembar buka studio pilates muslimah

Doktor kembar buka studio pilates muslimah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keinginan melihat golongan wanita mengamalkan gaya hidup sihat mendorong pasangan doktor kembar, Dr. Amalina A. Rahman dan Dr. Amalia membuka studio pilates eksklusif di Bangi.

Mereka yang berusia 33 tahun itu terlebih dahulu mengusahakan klinik wanita, kanak-kanak dan keluarga sejak tiga tahun lalu sebelum melebarkan sayap dalam industri kecergasan.

Menurut Dr. Amalina, idea itu tercetus apabila menyedari kebanyakan individu hanya ke klinik berjumpa doktor apabila diserang penyakit kronik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, dia sanggup mengambil kursus profesional dalam bidang pilates bagi memastikan setiap teknik senaman yang diajar tepat dan selamat mengikut keperluan tubuh manusia.

Walaupun bukan peminat aktiviti lasak, dia mengakui yang pilates adalah jawapan terbaik untuk mengekalkan kecergasan diri dengan impak yang lebih rendah.

“Saya perhatikan ramai doktor selesa duduk di klinik, memberi rawatan dan ubat.

“Tetapi, lama-kelamaan saya nampak satu pola di mana ramai wanita datang dengan masalah serupa seperti berat badan, hormon dan stres.

“Lantas saya terfikir yang rawatan perubatan sahaja tidak memadai, jadi sebab itu saya menggalakkan lebih ramai wanita menyertai pilates sebagai langkah pencegahan sebelum terlambat,” katanya.

Studio senaman TWN by Dr Twins mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu.

Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan kecantikan wajah untuk keselesaan pelanggan yang mahukan penjagaan diri holistik.

Tujuan utamanya adalah bagi membolehkan wanita berkongsi secara terbuka dan santai tentang masalah kesihatan mereka.

Hal itu kerana tempoh konsultasi di sini adalah lebih lama berbanding di premis lain.

Ujarnya, pilates terbukti berkesan kerana memfokuskan kepada kekuatan pelvis yang merupakan nadi buat wanita.

 

Kepakaran
Studio ini menawarkan tiga kategori kelas iaitu beginner, intermediate dan pranatal khusus untuk ibu mengandung pada trimester kedua dan ketiga agar kekal aktif dengan cara selamat.

Lebih menarik, individu yang menderita masalah tulang belakang seperti slip disc atau scoliosis juga boleh melakukan senaman ini di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional mereka.

“Pesakit slip disc atau scoliosis masih boleh menyertai kelas kami asalkan tahap penyakit tersebut masih rendah.

“Terdapat langkah dan teknik khas yang disediakan bagi memastikan keselamatan tulang belakang mereka kekal terjamin,” jelasnya.

Menyedari sensitiviti masyarakat, studio ini memberikan keutamaan kepada wanita muslimah kerana menyedari kurangnya ruang senaman yang benar-benar menjaga privasi aurat wanita dengan sempurna.

Bagi wanita Islam yang ingin merasai pengalaman bersenam di sini, pihaknya sedia menerima tempahan secara privasi bagi menghormati garis panduan aurat sesama wanita mengikut hukum syarak.

Kemudahan lengkap, inklusif
Studio ini turut dilengkapi dengan lapan mesin reformer canggih serta kemudahan bilik mandi dan tempat menukar pakaian yang selesa buat para pelanggan.

Ia juga bersifat inklusif kerana terbuka kepada individu seberat lebih 120 kilogram, sekali gus membuktikan senaman ini mampu dilakukan oleh pelbagai saiz tubuh tanpa diskriminasi.

Mengulas cabaran dihadapi, Dr. Amalina berkata, di peringkat awal, keluarga turut sangsi dengan hala tuju perniagaan tersebut yang dianggap agak asing.

“Jujurnya, memang kami risau apatah lagi, ayah tidak yakin dengan keputusan dibuat.

“Tetapi kami cuba meyakinkannya melalui pembentangan kertas kerja perniagaan dan menunjukkan data kukuh.

“Saya lega dan bersyukur kerana mereka tidak pernah menghalang, malah memberikan kepercayaan penuh apa yang kami lakukan ini mempunyai tujuan besar buat komuniti wanita di sini,” jelasnya.

 

Bina keberanian
Menguruskan perniagaan bukan tanggungjawab mudah, tetapi ia seolah-olah tidak terasa dengan kehadiran kembarnya.

Kembarnya bukan sekadar rakan kongsi malah menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

“Bila ada kembar, kepala tak pening seorang diri. Kekuatan saya datang daripada kombinasi niat yang betul, pasukan hebat dan pengalaman sebagai doktor untuk menjaga wanita secara menyeluruh.

“Apabila anda percaya dengan apa yang dibina, keberanian itu akan datang dengan sendirinya.

“Kami mahu wanita rasa selamat, faham diri mereka, dan dibimbing tanpa perlu rasa dihakimi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini