GEORGE TOWN: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Tanjung Tokong di sini, kira-kira pukul 5.49 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari kediamannya sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat lapan bangunan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk proses bedah siasat.
“Siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan terhadap badan si mati bagaimanapun mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dalam kes ini.
“Justeru, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa ini dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka bagi melengkapkan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.-UTUSAN










