Dagangan Malaysia dijangka terus berkembang - Utusan Malaysia

Dagangan Malaysia dijangka terus berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings) menyasarkan eksport Malaysia akan terus berkembang pada Jun pada kadar lebih sederhana iaitu 1.1 peratus berbanding 2.5 peratus dalam bulan sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan itu menyifatkan pertumbuhan eksport yang lebih menyederhana itu antaranya disebabkan oleh faktor cuti Hari Raya Aidilfitri serta dagangan global yang lebih suram.

Selain itu, import diunjur berkembang 1.6 peratus pada Jun berbanding 1.4 peratus pada Mei, seiring dengan prestasi eksport yang bertahan dan akan menjadikan lebihan dagangan keseluruhan Malaysia kepada RM5.7 bilion pada akhir bulan, katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu pada masa depan, pertikaian perdagangan Jepun-Korea Selatan dijangka memberi tekanan penurunan terhadap momentum dagangan serantau yang lemah, khususnya bagi rantaian bekalan sektor elektrikal dan elektronik (E&E).

Impak langsung eksport Malaysia berkemungkinan susut dari segi bekalan serta potensi kerugian akibat permintaan lebih rendah dari Korea Selatan juga kelihatan terhad kerana negara itu tidak banyak bergantung kepada sektor E&E terbabit.

Bagaimanapun, Malaysia boleh mendapat kesan tidak langsung sekiranya rantaian pengeluaran E&E global terjejas.

“Ketegangan perdagangan terbaharu antara Jepun dan Korea Selatan berpotensi memberi risiko penurunan rantaian bekalan produk E&E global, terutamanya berikutan dominasi Seoul dalam pembekalan cip memori. Malah, Korea Selatan menyumbang 37.6 peratus daripada eksport cip memori global pada 2018.

“Walaupun kesan utama itu tidaklah ketara untuk Malaysia, namun potensi bekalan untuk input (seperti cip memori) terjejas dalam jangka pendek mungkin mengekang kitaran teknologi dan menjejaskan pertumbuhan industri E&E global, “ kata Ketua Penyelidikan RAM Ratings Kristina Fong.

Beliau berkata, terdapat beberapa ruang bagi lencongan manfaat perdagangan untuk Malaysia dalam usaha menguruskan rantaian bekalan input yang ‘sesak’ akibat sekatan eksport tersebut.

“Permintaan itu sebaliknya mungkin dilencongkan kepada firma Malaysia. Pemain E&E global juga dapat memanfaatkan infrastuktur sedia ada dan meningkatkan kapasiti pengeluaran masing-masing di Malaysia jika mereka mahu mempelbagaikan pengeluaran dengan beralih dari Korea Selatan,” katanya. -BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini