Calon UPSR SK Bukit Pinang, SK Terap Serdang ditawar tiket penerbangan jika peroleh 6A - Utusan Malaysia

Calon UPSR SK Bukit Pinang, SK Terap Serdang ditawar tiket penerbangan jika peroleh 6A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 27 Ogos – Calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang, Kepala Batas dan SK Terap Serdang di Kulim, mendapat suntikan semangat apabila kesemua 89 orang yang akan menduduki peperiksaan itu bermula September nanti, ditawarkan tiket penerbangan dan penginapan ke Kuala Lumpur, sekiranya berjaya memperoleh keputusan 6A nanti.

Perkara itu diumumkan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang berkata, ibu atau bapa murid terlibat akan turut diberikan pakej yang sama untuk mengiringi anak-anak mereka.

Kata beliau, murid yang berjaya itu dan penjaga mereka akan menaiki kapal terbang dan menginap di Hotel EDC di ibu negara pada tarikh ditentukan nanti.

‘Hadiah ini adalah untuk menyuntik semangat murid-murid yang akan menduduki UPSR tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada majlis pemasyhuran sekolah kolaborasi universiti dan perjumpaan dengan waris murid tahun enam di SK Bukit Pinang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM, Dr. Massudi Mahmudin, pengarah-pengarah unit, wakil Jabatan Pendidikan Kedah, guru-guru besar dan ibu bapa kepada murid tahun enam.

Program Sekolah Kolaborasi Universiti (KU) adalah hasil kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan dan UUM untuk melestarikan pembangunan infrastruktur dan insaniah di dua buah sekolah terlibat.

Seiring dengan itu, dua buah sekolah terlibat turut dijadikan sebagai sekolah angkat bagi meningkatkan kemudahan dan teknologi pendidikan.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Bashawir, jawatan kuasa induk program tersebut yang diterajui oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr. Hendrik Lamsali dan jentera pelaksananya, turut dibantu oleh pengarah-pengarah, ketua-ketua unit dan para pensyarah serta pegawainya.

“Mereka akan membantu menguruskan infrastruktur manakala pembangunan insaniah pula akan melibatkan staf akademik daripada Pusat Pengajian SEML (Bahasa Melayu dan Pedagogi) dan SLCP (Guru Bahasa Inggeris).

“Subjek Matematik dan Sains pula akan membabitkan mahasiswa kampus UUM dengan disusuli program motivasi untuk pembangunan sahsiah dan emosi oleh kaunselor UUM,” kata beliau.

Katanya lagi, pelbagai perancangan lain juga telah diatur antaranya terapi, motivasi, program kesukarelawanan, keceriaan, pembangunan karakter dan sesi lawatan ke kampus UUM.

Terdahulu, sempena kunjungan dan perasmian di sekolah itu, beberapa orang murid tahun enam diberi kesempatan untuk bertanyakan mengenai penyelesaian masalah matematik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN