Bawal Exclusive lali kecaman - Utusan Malaysia

Bawal Exclusive lali kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Bawal Exclusive, antara jenama tudung di Malaysia yang sering sahaja dikecam setiap kali mengumumkan menerima tempahan tudung bawal berharga RM50,000 dan terbaharu, RM70,000.

Kalis api neraka ke tudung ini? Antara soalan paling kerap dilontarkan oleh netizen di laman sosial sebaik sahaja terdapat berita mengenai tudung Bawal Exclusive.

Sudah lali dengan reaksi panas seperti itu, Pengasas Bawal Exclusive Sdn. Bhd., Haliza Maysuri berkata, pihaknya tidak mengeluarkan produk semahal itu sebaliknya ia merupakan permintaan daripada pelanggan setia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Haliza menjelaskan, terdapat sesetengah pelanggan datang ke butik dan meminta pihak­nya untuk membuat tudung bawal istimewa kepada pembeli itu pada harga RM30,000 sebelum ini dan sehingga kini mencecah RM70,000.

Beliau yang tidak pernah menyangka akan menerima tempahan sebegitu, bagaimanapun berpendapat, tidak salah bagi mereka yang berkemampuan untuk membelanjakan wang membeli tudung.

“Mengapa apabila orang lain berbelanja puluhan ribu untuk membeli beg tangan jenama antarabangsa, mereka dianggap mempunyai standard tetapi jika membeli tudung untuk menutup aurat dan jenama tempatan, mereka dikecam?

“Harga tudung kerap kali menjadi perhatian utama dalam kalangan masyarakat kita, tetapi, mereka tidak nampak nilai, usaha keras dan juga seni di dalam sehelai tudung itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tudung bawal RM70,000 bertatahkan batu kristal Swarovski diimport dari Austria itu sudah ditempah dan bakal menjadi milik seorang usahawan berusia 30-an dari Kelantan.

Haliza dalam pada itu ­me­ng­ingatkan orang ramai supaya tidak takut untuk memasuki butiknya kerana Bawal Exclusive menjual produk serendah RM57 yang turut mempunyai batu kristal Swarovski dan ­paling mahal RM17,000.

“Kalau tudung puluh-puluh ribu dan tiada permintaan, kami tidak akan buat kerana modal besar. Takkan nanti produk itu hanya akan dipamerkan semata-mata dan tiada orang beli?” seloroh beliau.

Perniagaan tudung bawal berjenama Bawal Exclusive yang diusahakan Haliza bersama suami beliau, Mohd Rosli Awang sejak 21 tahun lalu berkembang maju dan menjadi jenama premium serta kukuh dalam pasaran.

Bawal Exclusive menyasarkan peningkatan jualan seba­nyak 30 peratus dan 100,000 helai tudung bawal menjelang akhir 2019.

l Bawal Exclusive bermula daripada gerai kecil pada 1998

l Kini memiliki 10 butik premium di seluruh Malaysia

l Sasar jual 100,000 helai tudung bawal pada 2019

l Bakal buka cawangan di Sarawak, Singapura

l Tudung paling mahal ditempah berharga RM70,000

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini