LONDON – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Fernando Alonso dikatakan bakal membuat kejutan pada musim depan apabila bersetuju untuk menyertai perlumbaan paling mencabar di dunia iaitu saingan Rali Dakar.
Pelumba Sepanyol itu turut dikatakan akan meninggalkan Kejuaraan Endurance Dunia di Le Mans pada tahun depan dengan menyertai pasukan Toyota bagi perlumbaan Rali Dakar.
Jika benar Alonso menyertai perlumbaan Rali Dakar, maka spekulasi mengenai pelumba berusia 38 tahun itu akan kembali beraksi pada saingan perlumbaan F1 musim depan hanya khabar angin.
“Saya mempunyai idea jelas tentang apa yang akan saya lakukan ketika ini. Saya tidak mengharapkan panggilan daripada sesiapa.
“Saya sentiasa memilih di mana dan bila saya ingin berlumba. Saya mahu menyertai perlumbaan yang mampu membuatkan saya gembira. Apa yang akan saya lakukan pada masa depan semuanya berada dalam fikiran saya,” kata Alonso.
Pada Mac lalu, Alonso diberi peluang untuk melakukan percubaan pada saingan Rali Dakar di Afrika dan juara dunia F1 itu melakukan ujian berkenaan bersama pasukan Toyota. – Agensi











