KUALA LUMPUR 2 Ogos – Allianz Malaysia Bhd hari ini melancarkan dua produk iaitu MediSafe Infinite+ dan MediAdvantage, bagi menawarkan perlindungan perubatan ditambah baik di dalam dan luar negara kepada rakyat Malaysia.
Ditaja jamin oleh cabang insurans Allianz Malaysia, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, kedua-dua produk itu akan bertindak sebagai ‘rider’ kepada Allianz PowerLink, menawarkan perlindungan yang fokus kepada pelan berkaitan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd., Joseph Gross berkata, dengan pengenalan dua rider ini, rakyat Malaysia diberi peluang untuk menerokai perlindungan perubatan berbeza untuk disesuaikan dengan keperluan mereka sama ada di dalam atau luar negara.
MediSafe Infinite+ berperanan sebagai insurans perubatan yang menawarkan perlindungan hospital dan surgeri di dalam negara yang komprehensif.
“Kami menawarkan tujuh pelan daripada Pelan 50 bagi amaun insurans RM850,000 sehingga pelan 500 bagi amaun insurans RM2.5 juta berdasarkan kemampuan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk itu di sini, hari ini.
MediAdvantage pula, adalah pelan perubatan luar negara yang menawarkan faedah hospital dan surgeri untuk melengkapi perlindungan perubatan yang disediakan oleh MediSafe Infinite+.
Pelan itu berfungsi sebagai pakej perlindungan yang menawarkan kepada pelanggan pengalaman tanpa batasan apabila mendapatkan rawatan perubatan di luar negara bagi lima keadaan dan rawatan perubatan seperti kanser, surgeri pintasan arteri koronari, surgeri saluran jantung dan derma organ.
“MediAdvantage ditawarkan menerusi dua pelan, membolehkan pelanggan untuk memilih mendapatkan pendapat perubatan kedua daripada pakar perubatan untuk menentukan pelan rawatan terbaik untuk mereka,” kata Gross. – BERNAMA











