KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sempena hari terakhir program pertabalan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menzahirkan titah ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta ahli-ahli Kabinet.
Seri Paduka turut bertitah, titah terima kasih juga ditujukan kepada isteri baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Khasnya, secara peribadi, beta ucapkan terima kasih kepada isteri beta, isteri yang tersayang kerana banyak memberi tumpuan dan fokus untuk persiapan ini dilaksanakan dengan penuh perfection (sempurna), begitu teliti dan begitu halusi dan beta ucapkan terima kasih kepada warga staf Istana Negara kerana banyak bersabar,” titah Seri Paduka.
Sultan Abdullah bertitah sedemikian sebelum berkenan merasmikan Pameran Raja Kita di Balairung Seri, Muzium Diraja, Jalan Istana di sini hari ini.
Sultan Abdullah turut berkenan berkongsi dengan hadirin mengenai tarikh hari ini yang merupakan hari ulang tahun keputeraan Raja Permaisuri Agong.
“Beta juga ingin maklumkan di sini 5 Ogos adalah hari lahir Raja Permaisuri. Sama-samalah kita berdoa semoga Permasiuri panjang umur, lebih pandai masak dan diberkati Allah SWT,” titah Seri Paduka.
Pameran Raja Kita berlangsung selama selama tiga bulan sehingga 5 November ini dan ia diadakan sebagai salah satu acara daripada lain-lain acara bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Jabatan Muzium Malaysia bertanggungjawab mengadakan pameran berkenaan bagi mengetengahkan dan mengangkat institusi beraja dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Selain itu, pameran ini bertujuan memelihara konsep raja berpelembagaan sehingga ke generasi akan datang.
Pameran ini turut menghimpunkan koleksi yang merujuk kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dan sisi peribadi Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.
Turut dipamerkan adalah alat-alat pameran kebesaran diraja Persekutuan. -UTUSAN ONLINE











