KUALA LUMPUR – Lima suspek lelaki disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan seorang pemandu kenderaan e-hailing di tahan di sebuah rumah di sekitar Bandar Tun Razak di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam Sabtu lalu, pemandu e-hailing berusia 31 tahun itu terpaksa menyerahkan wang tunai sebanyak RM200, dua telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi selepas cermin keretanya dipecahkan selain di acu pisau oleh dua lelaki bermotosikal.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, susulan itu, polis menjalankan siasatan dan berdasarkan maklumat membawa ke sebuah rumah.
“Pada pukul 2.30 petang semalam, Ketua Polis Balai Sungai Besi bersama anggotanya pergi ke sebuah rumah di Bandar Tun Razak dan memeriksa tiga lelaki sedang mencuci motosikal.
“Pemeriksaan dan semakan ke atas motosikal berkenaan didapati masih dilaporkan hilang di kawasan Salak Selatan Baru. Pemeriksaan dalam rumah kemudian mendapati dua lagi lelaki di dalam rumah, kesemua berusia antara 24 hingga 31 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan berjaya menemui enam telefon bimbit, beg milik mangsa samun pemandu e-hailing, dua parang, dokumen peribadi mangsa dan wang tunai berjumlah RM1500.
“Sementara hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek mendapati empat daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan curi motosikal.
“Kesemua suspek juga didapati positif penggunaan dadah menerusi ujian air kencing dan siasatan diteruskan termasuk pembabitan suspek dengan kes-kes samun atau ragut lain yang dilaporkan sebelum ini
Kelima-lima suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











