PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 1,762 paket gula-gula Ghost Smoke sepanjang pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara pada 23 hingga 31 Julai lalu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 2,401 buah premis di peringkat pemborong dan peruncit telah diperiksa.
“Sehubungan dengan itu, kita telah membuka sebanyak 12 kertas siasatan membabitkan kes tersebut.
“Gula-gula itu dijual pada harga 50 sen disukai dan dijual secara meluas kepada pelajar sekolah. KPDNHEP menyedari akan kebimbangan ibu bapa dan memberi perhatian sepenuhnya berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Iskandar Halim, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.
Jelasnya, sabit kesalahan, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan.
“Sebaliknya, bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
“Justeru, KPDNHEP ingin memberi amaran dan mengingatkan kepada mana-mana peniaga supaya menghentikan segera penjualan gula-gula Ghost Smoke ini,” katanya.
Sekiranya terdapat premis yang menjual gula-gula Ghost Smoke di pasaran, ibu bapa dan masyarakat boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800, WhatsApp ke 019-2794317 atau melalui portal iaitu eaduan.kpdnhep.gov.my untuk diambil tindakan sewajarnya. – K! ONLINE











