SHANGHAI – Penjaga gol, Rui Patricio muncul wira Wolves, selepas menyelamatkan tiga sepakan penalti sewaktu beraksi dalam perlawanan akhir Asia Trophy menentang Manchester City yang diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti di Shanghai, hari ini.
Pertandingan pertunjukan itu berkesudahan Wolves menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas juara Liga Perdana Inggeris, City setelah perlawanan akhir tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.
Pertemuan itu berkisah tentang skuad bimbingan Pep Guardiola yang gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Raheem Sterling gagal menyudahkan sepakan penalti pada separuh masa pertama untuk City, yang mendominasi perlawanan berlangsung di Stadium Hongkou, malah, jentera serangan mereka juga kelihatan tumpul tanpa kehadiran Sergio Aguero dan Gabriel Jesus.
Untuk aksi penentuan ketiga dan keempat pula, Newcastle United menewaskan West Ham United 1-0 sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung kepada Steve Bruce yang baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih The Magpies. – AFP











