GUA MUSANG – Sebuah keluarga dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di sini memohon pertolongan orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang berusia 81 tahun dilaporkan hilang dari rumah sejak petang kelmarin.
Idris Che Din, 81, yang mengalami masalah nyanyuk dilihat kali terakhir oleh penduduk kampung pada pukul 3 petang kelmarin.
Sehingga pagi ini warga emas itu masih belum ditemui.
Menurut anaknya, Siti Zulaiha, 25, sebelum ini, bapanya tidak pernah hilang walaupun mengalami masalah nyanyuk.
Katanya, mereka risau dengan keselamatan bapanya yang sudah tua itu.
“Ayah mempunyai masalah ingatan dan mungkin lupa jalan pulang. Ini kali pertama ayah tidak pulang ke rumah.
“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan ayah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Zulaiha berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat pada pukul 10 pagi semalam dan sebelum ini dia tidak pernah hilang.
Beliau merayu kepada sesiapa yang melihat bapanya merayau-rayau di kawasan mereka supaya menghubunginya di talian 017-9457 762 atau membuat laporan di balai polis berdekatan. – K! ONLINE











