LUMUT – Seorang wanita warga emas maut manakala sembilan lagi individu cedera apabila dua kereta bertembung dalam satu kemalangan di Kilometer 10.5 Jalan Beruas-Parit dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.16 tengah hari itu, mangsa, Sim Fu Oi, 87, yang cedera parah akibat kemalangan tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Persona dinaiki lima sekeluarga termasuk mangsa sedang dalam perjalanan dari Parit menghala ke Beruas.
“Tiba di tempat kejadian, Proton Persona tersebut masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Mercedes Benz C250 yang dinaiki lima sekeluarga.
“Akibat pertembungan itu, mangsa yang merupakan penumpang hadapan Proton Persona mengalami kecederaan parah sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Beruas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik berkenaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.
“Seorang lelaki berusia 54 tahun yang merupakan pemandu Proton Persona turut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan turut dirawat di hospital sama,” katanya.
Katanya, tiga penumpang Proton Persona serta empat penumpang serta pemandu Mercedes Benz pula hanya mengalami kecederaan ringan dan turut dirawat di Hospital Seri Manjung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











