KUALA LUMPUR – Menubuhkan sebuah persatuan yang menjurus ke arah sebuah badan bukan berkeuntungan (NGO) bukanlah suatu yang asing di negara kita sebaliknya terdapat banyak persatuan dan NGO yang tumbuh macam cendawan.
Hari ini, sebuah lagi persatuan dilancarkan yang mana majlis pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh
Presiden Persatuan Su.Re.Sihat, Shameem Ashraf menjelaskan, persatuan yang diterajuinya mempunyai fokus dan visi yang mana ia meliputi tiga elemen iaitu sukan, rekreasi dan kesihatan.
“Su.Re. Sihat adalah singkatan kepada perkataan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan yang mana kita dapati, ketiga-tiga elemen ini saling berkait antara satu sama lain.
“Persatuan Su.Re. Sihat mempunyai pengisiannya yang tersendiri. Di Malaysia, masalah obesiti atau kegemukan menjadi satu ancaman kepada rakyat kita. Oleh itu, kita pupukkan kembali minat untuk bersukan dan beriadah atau rekreasi supaya masyarakat kita lebih sihat,” katanya kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui usai majlis pelancaran bertempat di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, di sini.

Shameen berkata, untuk mengikis sikap malas bersukan bukanlah satu usaha yang boleh dilakukan dengan mudah, apa tah lagi, banyak faktor termasuk tiada rakan-rakan yang mahu bermain sukan dan kawasan atau padang fizikal yang tidak menarik.
Oleh itu, apabila sukan elektronik atau esport diangkat sebagai salah satu sukan sebenar dan bukan lagi sekadar dipandang sebagai kegilaan bermain game di telefon bimbit, secara tidak langsung, definisi sukan ditakrifkan mengikut landasan yang sepatutnya dalam generasi hari ini.
“Kalau anak-anak kita nak keluar bermain bola, tidak ramai rakan yang mahu bermain bola di padang. Jadi, penyertaan rakan-rakan agak terhad.
“Salah satu cara untuk mengembalikan definisi sukan dalam dunia hari ini ialah dengan membuka pintu kepada esports yang mana, ia mencakupi kelompok atau golongan pemain sukan elektronik ini dengan aktiviti yang lebih sihat kerana sukan elektronik atau esports juga mampu menjana pendapatan pemain,” jelasnya.
Salam perkenalan Persatuan Su.Re. Sihat sempena dengan Karnival Palace Sure. Sihat yang diadakan selama dua hari, Sabtu dan Ahad lalu, menurut Shameen, tidak ghairah untuk mencari ahli dalam persatuan.
“Memang persatuan memerlukan ahli tetapi biarlah ahli yang berkualiti, bukan kuantiti. Maka itulah, kami lebih berhati-hati dalam pemilihan kemasukan ahli dalam persatuan.
“Seperkara lagi yang ingin saya nyatakan di sini, Persatuan Su.Re. Sihat juga bukanlah sebuah NGO yang bersifat mencari dana (fund raising) kerana objektif penubuhan persatuan ini jelas iaitu menggalakkan masyarakat kita bersukan, meluangkan masa untuk aktiviti rekreasi dan riadah dan yang paling penting, menjaga kesihatan melalui aktiviti yang mengeluarkan peluh,” katanya.
Persatuan Su.Re. Sihat juga kata Shameen, boleh disifatkan sebagai satu platform untuk golongan yang menjadi pemain dalam industri kesihatan bagi menjalin rangkaian atau networking.

“Sebagai contoh, ini platform pengenalan kepada pengamal perubatan dengan komuniti. Selain itu, ini juga menjadi platform sukan gusti, quidditch atau zumba. Apa yang saya bagi contoh ini sebenarnya ialah ruang yang ada untuk kita semua berinteraksi.
“Apabila persatuan juga mengambil bahagian dalam Karnival Palace di Hotel Palace of the Golden Horses kali ini, kita ada 68 vendors daripada pelbagai kategori perniagaan yang menerima kunjungan bukan sahaja daripada tetamu yang menginap di hotel ini tetapi juga daripada pengunjung di luar sana yang mana di situ terjalin satu rangkaian secara tidak langsung,” ujarnya.
Dengan sembilan orang tenaga kerja bagi memastikan Persatuan Su.Re.Sihat ini berjalan di atas landasan yang betul, mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang persatuan boleh layari laman facebooknya. – UTUSAN ONLINE











