KUALA LUMPUR 15 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa UMNO sentiasa menjaga kepentingan kaum lain dan bukannya sebuah parti berteraskan perkauman.
Menurut Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, perjuangan UMNO adalah berlandaskan agama Islam yang melarang umatnya mengamalkan sikap assabiyah (berpuak-puak) dan memusuhi orang lain.
“UMNO itu adalah satu saf perjuangan. UMNO itu adalah Lillahi Ta’ala (kerana Allah SWT). UMNO itu fardu kifayah. UMNO itu warisan orang Melayu. UMNO itu sahabatnya adalah Pas dan orang-orang yang berjuang atas nama agama serta bangsa.
“Kafir yang tidak harbi, kita tidak boleh jadikan musuh walaupun tidak seagama kerana mereka adalah sahabat. Selagi Islam pegangan kita, sayangilah orang bukan Islam seperti mana kasihnya Nabi Muhammad SAW kepada Muhajirin, Ansar dan orang Yahudi semasa pembentukan negara Islam pertama di Madinah,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Youtube semalam.
Mengulas lanjut, Annuar turut menegaskan tindakan membela hak orang Melayu, Tanah Melayu, Rizab Melayu dan kepentingan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan satu bentuk perkauman.
Katanya, hal itu dapat dilihat menerusi keharmonian hasil daripada acuan UMNO sejak negara merdeka 62 tahun lalu.
“Kita paling awal terima kaum Cina dan India. Lebih 60 tahun negara merdeka, acuannya adalah dari UMNO. Jangan kita ada syak dan perasaan ragu terhadap perjuangan. Semua ini untuk kebaikan ummah,” katanya. – UTUSAN ONLINE









