PETALING JAYA 16 Julai – Seorang tukang urut warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki cop keselamatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) palsu pada pasportnya, minggu lepas.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman terhadap Nguyen Thi Hang, 27, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di premis No 1A, Jalan USJ 1/20, Taman Subang Permai, Subang Jaya, di sini, pada 6.30 petang, 7 Julai lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 56(1)(aa) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-dua sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dan ketika kejadian, dia telah menyerahkan pasportnya untuk diperiksa dan hasil siasatan JIM mendapati cop keselamatan yang terdapat pada pasportnya palsu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda ringan atas alasan dia tidak mengetahui cop keselamatan pada pasportnya adalah palsu selain mempunyai dua anak yang masih kecil di negara asal. – BERNAMA











