KUALA LUMPUR 29 Julai – Dalam tempoh tiga jam, sebanyak 850 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpulkan oleh kira-kira 230 sukarelawan yang berganding bahu untuk mengatasi masalah sisa pepejal di sepanjang tebing Sungai Klang dan kawasan sekitarnya semalam.
Aktiviti pembersihan sungai bertemakan ‘Pelindung Sungai untuk Hari Esok yang Lebih Cerah’ tertumpu di kawasan Taman Pengkalan Batu yang dianjurkan oleh ialah syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB).
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, usaha memastikan kebersihan sungai itu merupakan satu tanggungjawab kolektif melibatkan pihak kerajaan, swasta dan komuniti setempat.
“Kita mahu orang ramai berasa bertanggungjawab terhadap Sungai Klang dan menjaga kebersihannya. Oleh itu, kami menganggap sukarelawan hari ini adalah sebagai Pelindung Sungai.
“Setiap individu yang menyertai aktiviti tersebut akan merasai sendiri betapa besarnya usaha pembersihan yang perlu dilakukan setiap hari. Kami berharap mereka dapat berkongsi pengalaman kepada orang lain dan seterusnya memberi pengaruh yang positif,” katanya di sini semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Datuk Mohamad Yasid Bidin.
Program itu melibatkan penyertaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Menteri Besar Selangor (Diperbadankan), Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Jabatan Perhutanan, Lembaga Urusan Air Selangor dan KDEB Waste Management.
Sukarelawan pula terdiri daripada anggota MPK River Rangers, Society of Eco Greater Melawati, Kelab Warisan Sungai Klang, Komuniti Belia Selangor, Activ8 Smart Selangor, Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam dan Management & Science University (MSU).
LLSB merupakan syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) atau MBI, yang diberi mandat untuk menerajui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) melibatkan pembersihan, pemeliharaan dan pembangunan lestari Sungai Klang.
Projek yang menjadi sebahagian daripada pelan induk Kerajaan Negeri Selangor menjelang tahun 2030, bakal menyaksikan kerajaan negeri mempelbagaikan sumber pendapatannya serta memaksimumkan kawasan-kawasan penting di Selangor menuju ke Kuala Lumpur untuk menjana ekonomi maritim serta pembangunan baharu di negeri itu. -UTUSAN ONLINE











