KUALA LUMPUR – Esok, tanggal 30 Julai, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasminya menduduki singgahsana Istana Negara sebagai Raja Permaisuri Agong.
Selepas 33 tahun menjadi permata hati rakyat Pahang, baginda akan berada di samping suami tercinta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 esok.
Mengimbau kenangan awal perkenalan dengan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah mengakui tidak bercinta seperti pasangan lain kerana sebagai puteri yang dibesarkan dalam lingkungan istana, segala perlakuan baginda sentiasa dalam perhatian.
“Pertama kali jumpa Tuanku adalah waktu saya berumur 12 (tahun), Tuanku 13 (tahun) dan 13 tahun kemudian baru kami melangsungkan perkahwinan. Ayahanda saya (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) cukup tegas, ini kira orang lama betul. Jadi, tak ada dating, tak ada keluar tengok wayang, makan malam, tak ada langsung,” titah baginda.
Atas kekangan itu, hanya kiriman surat menjadi pengganti diri namun surat yang diterima itu juga harus melalui Almarhum ayahanda baginda sebelum sampai ke tangan Tunku Azizah.
Baginda bertitah, Almarhum ayahanda baginda sentiasa mengingatkan terutama tiga puteri baginda supaya menjaga maruah sebagai anak raja. Tunku Azizah merupakan puteri ketiga daripada empat beradik.
Walaupun perhubungan Seri Paduka berdua terjaga batasannya, namun keluarga Diraja Pahang dan Diraja Johor terutamanya nenenda Al-Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Abu Bakar dan nenenda baginda, Almarhum Sultan Ismail, amat mengharapkan pernikahan antara Tunku Azizah dan Al-Sultan Abdullah dimeterai.
“Tok (Almarhum Sultan Ismail) tahu Almarhum ayahanda saya tegas dalam hal hubungan cinta dan tahu saya tidak boleh keluar dating.
“Jadi, Tok suruh Tuanku yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang turun ke Johor untuk bermain polo ketika itu, kejap-kejap Tok titah suruh saya turun ke padang polo untuk memberi peluang saya berjumpa Tuanku,” titah baginda.
Berkongsi keperibadian Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah bertitah: “Seri Paduka adalah insan yang paling baik hati dalam dunia, murah hati, suka bersedekah, saya tidak pernah dengar Tuanku naik suara, tak garang, baik hati, tak pernah cakap pasal orang.”
Bagaimanapun, baginda mengakui Seri Paduka adalah seorang yang sangat tegas serta mengambil serius tentang tugas dan tanggungjawab yang digalas.
“Di Pahang dulu, Tuanku akan baca kertas Exco, satu per satu dibaca Tuanku manakala di sini, setiap Rabu sebelum nak jumpa Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Tuanku akan baca kabinet paper, semua sekali.
“Mungkin itu didikan daripada ayahanda dan ibunda kerana nak jadi raja adalah tanggungjawab besar. Apabila Tuanku jadi Tengku Mahkota Pahang, hidup Tuanku bertukar, Tuanku tahu tanggungjawab baginda, Tuanku pergi melawat. Tuanku serius dalam melaksanakan tugas, ia adalah tugas sepanjang hayat,” titah baginda.
Tunku Azizah turut memanjatkan doa agar tugas berat yang diamanahkan Raja-Raja Melayu, yang memilih Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dapat dilaksanakan Seri Paduka dengan sebaik mungkin mengikut landasan agama. – Bernama











