KUALA LUMPUR 29 Julai – Kerajaan akan menjalankan siasatan penuh terhadap warga asing yang terlibat dalam kejadian 50 warga Afrika yang menyerang empat anggota polis di Apartmen Flora Damansara, dekat sini khamis lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang atau mengganggu anggota penguatkuasa yang sedang bertugas.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka dan setakat ini, 17 lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Uganda sudah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saya ingin menegaskan bahawa warga asing yang datang ke negara ini mesti berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, mereka perlu membuat laporan dengan menggunakan saluran yang betul dan bukan mengambil tindakan sendiri
Kelmarin, media melaporkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) diserang kira-kira 50 warga Afrika ketika ingin melakukan tangkapan terhadap seorang suspek warga Nigeria yang dipercayai terbabit kes penipuan.
Samseng Afrika berkenaan dipercayai turut melarikan dompet, telefon bimbit dan kunci motosikal milik polis serta mengakibatkan seorang anggota cedera di muka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 160 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, melakukan gaduh gempar dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja. – UTUSAN ONLINE











