KUALA LUMPUR 29 Julai – Polis sedang memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes cubaan samun di sebuah kedai serbaneka, Jalan Kuching-Samarahan, Sarawak pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Lee Chong Chern berkata, kesemua suspek menyamun ketika pemiliknya dan pekerjanya sedang menutup kedai kira-kira pukul 11.30 malam.
“Mangsa dapat mengecam ketiga-tiga suspek dan salah seorang suspek memang ada masuk ke dalam kedainya membeli air sebelum kejadian berlaku,” katanya seperti dilaporkan portal Utusan Borneo.
Menurut Chong Chern, ketiga-tiga suspek dalam kes itu tidak menggunakan sebarang penutup muka atau topeng.
Jelasnya, kesemua suspek menggunakan kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran tidak pasti.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya pekerjanya mengalami cedera ringan di bahagian belakang badan akibat dilibas menggunakan sebilah parang oleh salah seorang daripada suspek.
“Muka salah seorang suspek juga kelihatan jelas dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa berada dalam kedai mangsa,” katanya.
Tambahnya, tiada kerugian serta kerosakan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun. – UTUSAN ONLINE











