HULU SELANGOR – Seorang remaja ditemui rentung dalam sebuah kabin pekerja di tapak projek pembinaan kilang di Jalan Zurah, Rasa di sini pagi tadi.
Difahamkan, mangsa, J. Dineshwaran, 17, yang menetap di Taman Rasa Indah di sini tidak bekerja di tapak pembinaan tersebut sebaliknya hanya menemani ayahnya yang bekerja sebagai pengawal di tapak tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut pada pukul 6 pagi dan sepasukan anggotanya telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.30 pagi ketika mangsa tidur seorang diri di dalam kabin berkenaan.
“Mangsa juga telah memasang lilin semasa tidur di dalam kabin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman menambah, pasukan bomba telah memadamkan kebakaran tersebut dan siasatan masih dijalankan di tempat kejadian oleh pasukan forensik bomba dan polis.
“Punca kebakaran masih dalam proses siasatan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tujuan dibedah siasat,” ujarnya. – K! ONLINE











