LOS ANGELES – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane berkata, kelab itu kini sudah bersedia untuk melepaskan bintang Wales, Gareth Bale dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pengendali yang berasal dari Perancis itu tidak membawa Bale ke jelajah pra-musim di Amerika Syarikat ketika ini yang menyaksikan Real tumpas 1-3 kepada Bayern Munich pada aksi pertama persahabatan di Houston, Texas awal hari ini.
“Dia memang tidak disenaraikan dalam skuad ke sini kerana kelab kami sedang berusaha menguruskan proses penjualannya. Sebab itu dia tidak bermain. Kami masih menunggu dalam beberapa hari ini.
“Jika dapat diselesaikan esok, ia lebih bagus untuk pasukan dan pemain lain di kelab ini. Harap begitulah hendaknya,” kata Zidane yang memang mengakui Bale tidak cukup cergas untuk berada di bawah bimbingannya.
Penyerang berusia 30 tahun itu agak sukar dijual memandangkan gajinya yang sudah tinggi sekaligus memberi masalah besar kepada kelab lain yang ingin mendapatkan khidmatnya.
“Tiada masalah peribadi di sini. Akan tiba masa bila kena pergi, kita perlu pergi. Saya tidak bermusuh dengan dia. Keputusan mesti dibuat untuk mengubah keadaan. Itu sahaja hakikatnya,” tegas Zidane.
Sebagai rekod, Bale menyertai Real Madrid enam musim lalu dengan membabitkan yuran perpindahan selain menerima gaji yang tinggi. Pemain sayap pantas ini kini dikaitkan dengan Tottenham, Manchester United dan Bayern walaupun masih mempunyai kontrak tiga musim lagi bersama Real. – AFP











