Rakyat harus berhati-hati - Utusan Malaysia

Rakyat harus berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
DALAM
bahagian pertama wawancara semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menceritakan pengalaman menjadi Tengku Mahkota dan bagaimana Seri Paduka begitu mengagumi keperibadian Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Turut dipaparkan ialah harapan Seri Paduka mahu melihat semua kaum dapat hidup bersama secara aman dan harmoni selama-lamanya.

 

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula menceritakan bagaimana didikan keluarga telah membentuk peribadi Seri Paduka dan kisah cinta dengan Al-Sultan Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut bahagian akhir wawancara bersama Seri Paduka berdua yang memaparkan pandangan Al-Sultan Abdullah mengenai isu semasa dan pengalaman hidup Raja Permaisuri Agong.

JANGAN CEPAT MELATAH

Dalam titah, Tuanku banyak bercakap tentang perkara berkaitan perpaduan Melayu yang kini nampak berpecah. Apa perasaan Tuanku?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya harap tidak dilibatkan politik dalam hal ini. Saya cuma boleh nasihatkan bahawa berpecah beberapa kalipun kita akan tetap tinggal dalam negara kita, negara Malaysia yang tercinta ini. Kita berada dalam sebuah kapal yang sama. Kita tidak boleh mempunyai rakyat bercelaru dan berpecah dalam satu kapal yang sedang menuju ke arah kejayaan. Kita mesti bersatu padu.

Bukan sebab seruan yang dibuat oleh Perdana Menteri (mahu semua parti Melayu bersatu) tetapi ini melibatkan soal perpaduan. Ketika membuka sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, saya juga tegur tentang perpaduan dan kesatuan. Saya harap kita perlu buktikan. Kita jangan cepat melatah dan cuba hendak memecahkan perpaduan. Saya rasa bimbang juga kalau ini berterusan. Dan insya-Allah rakyat Malaysia begitu berhemah dan pandai menilai mana yang baik dan mana yang kurang baik.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong, apakah yang Tuanku harap dapat dicapai dalam tempoh lima tahun pemerintahan ini?

AL-SULTAN ABDULLAH: Kalau saya letak sasaran yang begitu jauh mungkin sukar untuk dicapai tetapi doa dan harapan saya ialah berbalik kepada soal perpaduan. Saya mahu melihat dan merasai seluruh rakyat kita dapat hidup dalam keadaan aman, stabil dan harmoni. Melalui cara dan bagaimana, itu kita akan lihat kaedahnya. Saya tidak berani untuk berjanji tetapi itulah harapan saya.

 

Adalah sesuatu yang sedih bagi saya kalau sepanjang lima tahun ini kita lihat negara dalam keadaan kucar-kacir. Saya mohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan masalah ini dan saya harap rakyat harus berhati-hati. Dalam menentukan masa depan kita biarlah berhemah. Saya juga berharap pihak kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dapat memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi, memperkukuhkan keadaan kesejahteraaan rakyat dan bertindak lebih proaktif dalam soal membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Inilah antara sasaran jangka pendek. Apa pun saya perlu lebih realistik.

Apabila berlaku musibah Tuanku sekeluarga turun padang membantu bagi meringankan beban mangsa. Bagaimana Tuanku sekeluarga boleh berbuat sedemikian?

Al-SULTAN ABDULLAH: Saya harap rakyat tidak selalu menganggap orang istana tidak keluar istana. Salah anggapan itu. Saya hendak perbetulkan tanggapan tersebut. Kita lebih selesa pergi melawat dan bertemu rakyat. Memang sifat saya begitu. Saya suka melihat cara hidup dan bantu sekadar yang mampu. Malahan macam di Kuantan kalau tidak percaya bolehlah datang, semasa saya keluar masuk ada sahaja rakyat tunggu dekat pagar untuk minta bantuan. Sebab itu saya tidak boleh bersetuju dengan adanya perasaan (ada jurang dengan rakyat). Secara semula jadi kita harus membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.

PELIHARA IMEJ ISLAM, HORMATI AGAMA LAIN

Bagaimana pula pandangan Tuanku tentang kepentingan didikan agama untuk keluarga dan seterusnya rakyat.

AL-SULTAN ABDULLAH: Kita mesti memahami bahawa agama kita iaitu agama Islam adalah agama yang begitu besar ertinya pada setiap umat Islam di negara ini. Dalam konteks negara kita, diharap jangan kita amalkan agama kita secara terlalu narrow minded sebab kita berada dalam keluarga yang besar. Tinggal bersama dengan penganut-penganut agama lain.

Walaupun kita merasakan agama kita adalah lebih superior berbanding agama lain tetapi kita tidak boleh memandang rendah terhadap agama lain. Kita jangan berfikiran seperti itu. Kita mesti menghormati agama dan komuniti lain supaya mereka dapat kenal agama kita dengan lebih baik, memahami keadaan agama kita. Banyak sangat berita agama Islam ini begitu negatif.

Oleh itu, kita sebagai Muslim dan insan yang bertanggungjawab membela agama perlu memainkan peranan ini. Selain memberi didikan kepada orang Islam kita juga perlu berkongsi tentang apa yang kita tahu dengan penganut agama lain supaya mereka dapat memahami. Bertelagah itu bukan caranya. Kita juga tidak sepatutnya mempunyai fikiran yang sebegitu. Saya harap ini tidak mencetuskan apa-apa. Ini pandangan peribadi saya dan saya percaya kita semua ada tanggungjawab bersama untuk menentukan agama kita terus ditegak dan dimartabatkan.

Sejak akhir-akhir ini kita lihat Malaysia jadi sasaran tempat melatih pengganas, apa pandangan Tuanku?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya memohon perlindungan Allah, mudah-mudahan tidak akan berlaku. Saya harap mereka sedar tentang betapa berat implikasi jika perkara ini terjadi. Saya boleh menyatakan di sini jika kita tidak berhati-hati khususnya mereka yang dianggap seperti yang dinyatakan tadi, imej dan jenama Malaysia itu akan terjejas pada mata kerajaan Islam lain khususnya Arab Saudi dan Mesir.

Kena fikir bahawa ramai penuntut Malaysia belajar di sana. Kena fikir ramai bakal jemaah haji akan ke Arab Saudi setiap tahun. Kalau umrah pula setiap bulan. Kita perlu sedar hakikat itu. Mungkin satu hari pada tahun-tahun akan datang negara-negara tersebut akan tutup pintu untuk rakyat Malaysia. Apa akan terjadi? Setiap daripada kita khususnya orang yang dianggap radikal sememangnya mempunyai implikasi. Mungkin kita harus menjadikan ini sebagai satu ingatan.

Sebab itu saya harap setiap daripada kita sedar. Saya berkata demikian hasil daripada penilaian saya secara peribadi. Saya bukan cakap bagi pihak kerajaan tetapi saya bercakap atas kapasiti peribadi. Saya bimbang ini akan terjadi kalau kita tidak berhati-hati.

JADILAH GENERASI BERIBAWA

Apakah nasihat Tuanku kepada golongan muda?

AL-SULTAN ABDULLAH: Orang muda ini biasalah, mereka melalui satu evolusi baharu, melalui suasana baharu. Kadang kala mereka ini ada mind set yang tertentu secara orang muda. Saya percaya apabila sudah meningkat umur mereka mempunyai mind set lain. Namun begitu saya berharap mereka akan menjadi satu generasi berwibawa dan berintelek.

 

Jangan melakukan sesuatu negatif yang boleh menguasai jiwa dan fikiran mereka. Seperti mana dahulu, kita juga adalah daripada generasi muda yang mempunyai cara dan idea sendiri. Insya-Allah semuanya okey.

HIDUPKAN SEMULA TULISAN JAWI

Tuanku sangat prihatin dengan tulisan jawi khususnya di Pahang.

Al-SULTAN ABDULLAH: Tulisan jawi adalah warisan kita, bukan perkara baharu, tetapi wujud sejak zaman dahulu lagi. Teruskan sahaja. Kita mahu menghidupkan semula tulisan jawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini