SEREMBAN – Polis sedang mengenal pasti motif utama kes sepasang suami isteri warga emas ditemui mati akibat ditikam sebelum rumah mereka dibakar di Taman Desa Melati, Nilai, Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpulkan semua bukti yang ada berkaitan kes itu untuk mengenal pasti motif pembunuhan.
“Tiada sebarang tangkapan baru dan empat yang ditahan sebelum ini masih lagi direman untuk membantu siasatan.
“Polis sedang perkemaskan siasatan dan jika ada perkembangan terbaru kita akan maklumkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohamad juga enggan mendedahkan hubungan empat individu yang ditahan terbabit kerana khuatir akan mengganggu siasatan polis.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mayat sepasang suami isteri warga emas dipercayai dibunuh ditemui dalam sebuah rumah teres dua tingkat terbakar di Taman Desa Melati pada 24 Julai lalu.
Pasangan suami isteri itu ialah bekas jurutera sebuah syarikat swasta, Tan Kim Joo, 73, dan bekas guru Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Labu, Ng Chong Hwa, 67.
Kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran rumah tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.
Berikuta itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 45 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat tersebut.
Terdahulu, pada majlis itu, Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan.
Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan tersebut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman.
Che Zakaria berkata, beliau tidak menjangkakan akan memegang jawatan itu namun bersyukur dengan pelantikan itu.
Beliau berjanji akan memikul tanggungjawab itu dengan baik dalam merealisasikan visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Kontinjen Negeri Sembilan. – K! ONLINE











