SHAH ALAM – Polis Selangor telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussein, 37, dipukul ketika berada di dalam Penjara Kajang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ini susulan laporan polis yang dilakukan oleh pihak penjara Rabu lalu dan Wan Ji semalam.
“Dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan adalah berkaitan dakwaan Wan Ji dipukul di penjara.
“Manakala, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula daripada pihak penjara menyatakan difitnah oleh Wan Ji,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada polis telah memanggil individu tertentu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Wan Ji sebelum ini menerusi rakan video yang dimuat naik di Youtube, Wan Ji mendakwa dipukul ketika berada dalam Penjara Kajang apabila warden penjara telah memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas warden itu memperkenalkan diri.
Insiden itu diceritakan oleh Wan Ji sehari selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu apabila mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menangguhkan hukuman penjara setahun atas tuduhan menghina Sultan Selangor.
Wan Ji turut mendakwa dia telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan ayahnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas Wan Ji selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.
Wan Ji kemudian dibebaskan pada 12 Julai lalu setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman penjara selama setahun ke atas Wan Ji Wan Hussin selepas permohonan pendakwah bebas itu diterima mahkamah. – K! ONLINE











