BUKIT MERTAJAM 29 Julai – Seorang peragut bukan sahaja tidak sempat menikmati hasil ragutnya malah lebih malang cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Aston, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, suspek yang pada mulanya sedang berbaring di kaki lima sebuah kedai kopi secara tiba-tiba bangun dan meragut seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang berjalan bersendirian melalui kawasan itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, ketika kejadian, mangsa membawa beg tangan yang mengandungi wang RM50 dan sebuah telefon bimbit.
Katanya, suspek lelaki berusia 39 tahun itu memaut leher mangsa menggunakan tangan kiri sebelum menarik beg tangan yang diletakkan pada bahu mangsa menggunakan tangan kanan.
“Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai yang berada di kawasan berdekatan mengejar suspek menyebabkan suspek mencampakkan semula beg tangan wanita berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Nik Ros Azhan, tidak lama selepas itu mangsa dimaklumkan oleh orang ramai yang mana suspek telah dilanggar kereta sewaktu cuba melarikan diri dengan melintas jalan.
Katanya, akibat kemalangan itu, suspek yang memiliki lima rekod kes jenayah berkenaan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam di sini untuk mendapatkan rawatan.
“Suspek ditahan di hospital dan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 329 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











