KUALA LUMPUR – Beregu campuran No.1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kini dilihat perlu bekerja lebih keras dalam persediaan untuk ke Sukan Olimpik 2020 terutama selepas tidak berupaya memberikan saingan sengit kepada pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping sewaktu aksi separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2019 di Stadium Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut Peng Soon-Liu Ying yang ketika ini menghuni ranking kelima dunia tewas 13-21, 20-22 kepada beregu No.2 dunia berkenaan dalam tempoh masa 43 minit.
Keputusan tersebut jauh lebih membimbangkan berbanding ketika mereka tewas dalam pertemuan sebelum ini di Terbuka Malaysia pada Mei lalu yang menyaksikan Peng Soon-Liu Ying tidak memberikan kemenangan mudah kepada Yilyu-Dongping apabila tewas di set penentuan 19-21, 21-16, 25-27.
Kini rekod pertemuan melibatkan dua pasangan berkenaan memihak Yilyu-Dongping yang telah meraih tiga kali kemenangan berbanding dua kali diraih Peng Soon-Liu Ying.
Keputusan, hari ini juga adalah kekalahan ketiga berturut-turut beregu campuran negara kepada Yilyu-Dongping sejak kejohanan Jelajah HSBC Final Dunia BWF 2018 pada Disember lalu.
Kekalahan itu juga bermakna, harapan Peng Soon-Liu Ying untuk mendapatkan gelaran ketiga, musim ini tidak kesampaian.
Sebelum ini dua gelaran yang berjaya diraih Peng Soon-Liu Ying ialah menerusi kempen Terbuka New Zealand pada Mei dan Terbuka Australia pada Jun. – UTUSAN ONLINE











