KUALA LUMPUR 29 Julai – Kira-kira 53 penghuni di Taman Hijau, Ampang Jaya dekat sini terlibat dalam program pengasingan sisa pepejal anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Ahad lalu.
MPAJ memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam melaksanakan Program Pengasingan Sisa Di Punca sebagai pendedahan kepada orang ramai mengenai pengurusan sisa pepejal.
“Kerjsama daripada penduduk sangat baik dan menggalakkan. Mereka telah mengumpulkan bahan kitar semula antaranya kertas, botol plastik, kaca, besi dan logam serta sisa baki antaranya sisa makanan dan lampin pakai buang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, tujuan program itu dilaksanakan adalah mendidik penduduk dalam kempen 3R (Reduce, Reuse dan Recycle), kaedah pengawalan penjanaan muatan sisa ke tapak perlupusan dan pengasingan sisa di punca.
Tambahnya, penduduk yang memberi kerjasama baik dengan pihak MPAJ melalui program berkenaan akan diberi sijil penghargaan atau plak pada akhir tahun ini. – UTUSAN ONLINE











