SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh pendengaran semula permohonan pemindahan 33 pertuduhan dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melibatkan transaksi berjumlah RM42.76 juta berkaitan Visa Luar Negara (VLN) ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gan Peng Kun dibantah peguam tertuduh, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.
Dalam prosiding tersebut, Peng Kun memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan kes itu dibicarakan bersama pertuduhan kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Salinan notis tersebut (notis termetrai) juga telah disampaikan kepada pihak pembelaan melalui emel pada Jumaat lalu dan salinan hardcopy diserahkan pagi tadi,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zaidi yang membantahnya menegaskan pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan tujuh pertuduhan menerima rasuah lebih SG$4.2 juta (RM 12.6 juta) bagi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali One Stop Center (OSC) di negara China dihadapi Ahmad Zahid dari Mahkamah Seysen Kuala Lumpur ke Shah Alam.
“Permohonan itu difailkan pada 15 Julai lalu dan akan didengari Rabu ini. Justeru, saya mohon tarikh lain bagi mendengarnya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan pihaknya telah menerima salinan notis daripada pihak pendakwaan pada Jumaat lalu dan akan memfailkan afidavit jawapan.
Kosmo! Online pada 27 Jun lalu melaporkan Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 33 pertuduhan rasuah melibatkan transaksi berjumlah RM42.76 juta berkaitan Visa Luar Negara (VLN).
Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri berdepan 26 pertuduhan secara rasuah menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN dan melanjutkan syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OCS) di China dengan jumlah keseluruhan SG$9,320,000.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berdepan tujuh pertuduhan dengan jawatan sama sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapat sesuatu berharga masing-masing bernilai RM3,125,000, SGD$1,150,000, €15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada Ultra Kirana yang mana diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Sehubungan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pertuduhan dihadapi Ahmad Zahid kini adalah sebanyak 87.
Ini melibatkan 27 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah dan 48 pertuduhan rasuah. – K! ONLINE











