KLANG – Kerajaan Malaysia menggalakkan setiap individu supaya mempelajari pertolongan cemas kerana ia mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu menyelamatkan nyawa mereka yang mengalami kecederaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, bantuan seperti itu boleh menjadi penambahbaikan yang sangat penting kepada keputusan perubatan sebelum bantuan perubatan tiba, dan dalam beberapa keadaan, ia juga bermakna perbezaan antara hidup dan mati.
“Oleh itu, saya ingin menggalakkan semua rakyat Malaysia supaya menyokong dan memberi khidmat anda kepada pertubuhan seperti St John Ambulans agar bersama-sama kita dapat melakukan perubahan dalam komuniti kita dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada majlis Makan Malam Perdana bersempena sambutan ulang tahun ke-111 St John Ambulans Malaysia di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Majlis St John Ambulans Malaysia, Datuk Lai See Ming.
Mahathir, yang juga Yang Dipertua Kebangsaan St John Ambulans Malaysia berkata, satu daripada sumbangan terpenting St. John Ambulans adalah usaha mereka yang tidak mengenal lelah dalam melengkapkan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, dengan kemahiran pertolongan cemas dan penjagaan kejururawatan. – Bernama











