TANJONG KARANG – Seorang lelaki nyaris kehilangan empat jari tangan kanannya akibat tersepit dalam sebuah mesin pengisar daging di rumahnya di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam ketika mangsa berusia 20 tahun dipercayai sedang mengisar daging menggunakan mesin terbabit.
Mangsa yang kesakitan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan terpaksa menahan sakit lebih setengah jam sebelum jarinya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Tanjong Karang bagi mohon bantuan mengeluarkan jari mangsa.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan lapan anggota bomba kemudiannya dikejarkan ke hospital berkenaan.
“Anggota bomba mengambil masa kira kira 15 minit untuk mengeluarkan jari mangsa dari mesin terbabit menggunakan peralatan khas.
“Pasukan perubatan juga terpaksa memberikan ubat tahan sakit kepada mangsa ketika anggota bomba cuba mengeluarkan jarinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menegaskan, jari mangsa hanya mengalami luka akibat tersepit dan menerima rawatan lanjut di hospital terbabit. -K! ONLINE











