NGO tumpu usaha bantu negara serumpun - Utusan Malaysia

NGO tumpu usaha bantu negara serumpun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 20 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini diseru mengutamakan nasib umat Islam yang tertindas di negara serumpun terlebih dahulu dalam menjayakan sebarang misi bantuan kemanusiaan masing-masing.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana kalangan jiran tetangga Malaysia turut berdepan penderitaan yang sehingga kini masih belum mendapat pembelaan antaranya konflik di Bandar Marawi di Filipina di samping di Rakhine, Myanmar dan di Indonesia.

“Saya dapati ada banyak aktiviti bantuan kemanusian yang jauh merata sedangkan sahabat handai yang dekat dengan kita masih tidak mendapat bantuan secukupnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan bermaksud kita tidak boleh menolong negara lain tetapi mestilah mengutamakan yang terdekat dahulu kerana membantu negara serumpun ini ada tiga fadilatnya iaitu saudara sesama Islam, jiran tetangga dan hubungan silaturahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Antarabangsa Marawi di Duyung Marina & Resort di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Presiden Yayasan Amal Malaysia merangkap Pengerusi persidangan itu, Hussin Ismail dan wakil pimpinan Islam Mindanao, Dr. Safrullah M. Dipatuan.

Persidangan selama tiga hari bermula semalam bertujuan membuka mata masyarakat dunia tentang isu kebajikan dan kemanusiaan Marawi yang memerlukan pembelaan ramai selepas tragedi berdarah pada 2017.

Dalam pada itu, Safrullah berkata, selain Malaysia, negeri Terengganu juga sangat dekat di hati kerajaan Bangsamoro kerana banyak membantu mereka dalam mengharungi tragedi serangan itu.

“Kami mengharapkan hubungan erat yang terjalin dengan kepemimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu dapat diteruskan di masa hadapan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan serta kerjasama signifikan lain.

“Kita sedia maklum Terengganu merupakan antara negeri pengeluar minyak di Malaysia dan berkemahiran tinggi mengendalikan galian tersebut jadi mungkin Terengganu boleh membantu kami memandangkan Bangsamoro mempunyai potensi besar untuk pengeluaran minyak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini