KUALA LUMPUR – Sebuah kereta Mercedes A200 dan cincin berlian bernilai RM16,000 bakal menjadi taruhan sebagai hadiah hole-in-one buat peserta Kejohanan Terbuka Wanita Amatur ke-45 yang akan diadakan di Kelab Golf Diraja Selangor di sini pada 2 hingga 4 Ogos depan.
Selain itu, kejohanan yang disertai seramai 80 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Australia, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Filipina itu turut menawarkan hadiah seperti jam tangan mewah jenama Titoni.
Pengerusi penganjur kejohanan itu, Datuk Yasmin Yusuff berkata, sebanyak empat trofi akan dipertandingkan pada kejohanan tersebut seperti Tuanku Bahiyah, Toh Puan Norashikin, Datuk Azian dan Clarissa Lee.
Katanya, kejohanan selama tiga hari itu dibuka kepada pemain amatur dengan handicap 17.4 di mana mereka akan bersaing secara individu serta berpasukan Gross dan Nett.
“Setakat ini, kami telah menerima enam penyertaan yang memiliki handicap antara +2 dan 0. Ini menunjukkan kekuatan peserta pada kejohanan kali ini.
“Peserta masih diberikan kemudahan istimewa seperti sebelum ini antaranya urutan kaki, sesi pemanas badan, penginapan dan pengangkutan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, kejohanan berprestij itu turut mendapat tajaan daripada NZ Wheels (Mercedes A200), South Sea La Putri (cincin berlian), Impiana KLCC (penginapan), Kia (pengangkutan), Metro Kajang Holdings Berhad, Love 18 dan Poh Kong.
Menurut Yasmin, semenjak penubuhan kejohanan tersebut, ia telah melahirkan juara golf Malaysia yang kemudian bergelar pemain profesional seperti Lim Ai Lian (juara pada 1991, 1997 dan 1998) dan Lim Siew Ai (1996).
“Penyertaan akan ditutup pada 25 Julai ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kejohanan itu boleh melayari laman web lao.thersgc.com atau hubungi 03-9206 3247. – K! ONLINE










