DUA dekad tidak menjejakkan kaki di Malaysia namun, kumpulan pop popular sekitar 1990-an dari United Kingdom, England trio 911 masih mempunyai kelompok peminat setia.
Kumpulan yang dianggotai oleh Lee Brennan, Jimmy Constable dan Spike Dawbarn itu kembali ke Malaysia demi mengubati kerinduan peminat dengan melaksanakan konsert The Reunion 911 di Pusat Konvensyen Quill di Kuala Lumpur pada Sabtu minggu lalu.
Peluang secara eksklusif Kosmo! bersama pengamal media tempatan bersua muka dengan pelantun yang menjampi peminat menerusi lagu Bodyshakin sempat mengorek kisah mereka ketika kali pertama bertemu peminat di Malaysia.
Kesemua mereka yang telah berkahwin kini menjangkau usia 40-an rancak berkongsi momen masing-masing setelah kali terakhir melawat negara ini sekitar tahun 1999.
Sungguhpun penulis baru berusia sekitar lima tahun ketika zaman kegemilangan 911, namun muzik dan pengaruh mereka terus hidup sehingga ke hari ini.
“Setelah hampir 20 tahun, ini adalah kali kedua saya menjejakkan kaki di Kuala Lumpur. Wajah Kuala Lumpur telah banyak berubah dengan pelbagai bangunan pencakar langit. Satu-satunya lokasi dalam memori saya adalah Hard Rock Cafe Kuala Lumpur,” imbau Jimmy Constable.
Berkongsi lanjut, menurut Jimmy, Malaysia dekat di hatinya kerana peminat di sini amat menghargai kewujudan 911. Tutur Jimmy, dia tidak pernah melupakan lautan peminat yang setia menanti ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua dekad lalu.
Malah, masih segar dalam ingatannya, ketibaan mereka terpaksa diiring oleh pasukan keselamatan yang ramai hanya untuk melepasi pintu sebelum masuk ke kenderaan.
Kini setelah 20 tahun berlalu, minggu lalu, mereka sekali lagi terharu apabila masih wujud peminat setia yang menanti ketibaan mereka walaupun tidak segah sekitar tahun 1999.
“Ya, masih ada yang menunggu ketibaan kami di KLIA. Kami melihat mereka memegang kad dengan tulisan kata-kata semangat,” kata Jimmy.
Berpecah dan bersatu
Kumpulan 911 memulakan karier pada tahun 1995 dengan lagu debut berjudul Night To Remember dan album penuh sulung, The Journey (1997).
Aktif dalam tempoh lima tahun sebelum mengumumkan pengunduran daripada industri pada Februari 2000, 911 sempat mempunyai dua album penuh iaitu Moving On (1998) dan There It Is (1999).
Dalam tempoh lima tahun itu, 911 bukan sahaja menghasilkan single yang sering kali meroket di carta 10 muzik di England, malah turut mengetepikan populariti kumpulan pop sezaman mereka antaranya Spice Girls dan Smash Hit. Menawan dunia berbekalkan tiga buah album, 911 mencatatkan jualan sebanyak 10 juta single dan 6 juta unit album.
Sebuah program realiti, The Big Reunion merupakan titik permulaan kumpulan itu kembali bersatu. Pada tahun 2012, mereka mengumumkan untuk kembali sebagai 911.
Vokalis utama Lee Brennan berkongsi mengenai rencana kerjaya mereka setelah bersatu. Dedah Lee, sambutan peminat masih hangat seperti dahulu, namun selorohnya tubuh mereka mungkin tidak sekuat seperti awal kemunculan dahulu.
“Setiap kali melakukan persembahan, saya melihat ada peminat yang hadir menyaksikan konsert kami bersama anak mereka. Kami sedar kelompok peminat kami telah berubah seiring usia,” ujarnya disambut hilai tawa dua ahli yang lain.
Namun Lee berkata, semangat mereka sentiasa muda untuk beraksi dan tidak mahu lagi menguburkan 911.
“Kami mahu terus berada di sini dan menggembirakan peminat di mana sahaja mereka berada. Saya janji 911 tidak akan berpisah lagi,” luahnya jujur.
Konsert The Reunion 911
Pada 22 Jun lalu, sebuah lagi momen manis terpahat dalam kotak hidup 911 dan peminat apabila tiket konsert The Reunion 911 laris dengan kehadiran kira-kira 2,000 peminat.
Membuka panggung dengan lagu rancak berjudul Party People, 911 pantas menghangatkan suasana apatah lagi beberapa gerakan breakdance masih mampu dilakukan Jimmy dan Spike.
Tanpa sedikit pun lelah menyampaikan sekitar 15 buah lagu, durasi dua jam persembahan mereka berlangsung dalam suasana penuh bermakna.
Konsert pada malam tersebut bertepatan dengan tema The Reunion kerana setiap peminat yang hadir larut dalam emosi masing-masing.
Graf emosi itu ada kalanya membuatkan hadirin tertawa, mengalirkan air mata dan kadang-kala tersenyum sendirian mengenang nostalgia zaman muda remaja barangkali.
Sementelah itu, 911 tidak kisah berkongsi perihal peribadi masing-masing dan tulus menzahirkan penghargaan terhadap peminat menerusi setiap kata-kata serta persembahan mereka.
“Saya terkejut melihat peminat pada malam ini. Saya yakin anda semua semakin berusia, tetapi masih kelihatan muda. Sama seperti 20 tahun kita bertemu dahulu,” seloroh Lee yang membuatkan ruang konvensyen gamat dengan gelak tawa.
Dia kemudian menambah: “Saya hanya bergurau, saya gembira melihat anda kekal muda di jiwa. Ya, usia kita semakin bertambah, tetapi memori akan hidup selamanya,” diselangi tepukan gemuruh penonton.
Selain menyampaikan lagu Party People, mereka turut menyampaikan lagu wajib seperti Night To Remember, Love Sensation dan menutup persembahan menerusi lagu Bodyshakin’.
“Kami tidak mahu pengalaman manis ini berakhir. Kami mahu anda masih di sini walaupun kami kembali untuk 20 tahun lagi,” laung 911 sambil melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan.
Dua dekad penantian, konsert The Reunion 911 nyata mengubati kerinduan peminat dengan menyaksikan setiap lagu sebagai penghubung emosi antara mereka dan peminat.











