KUALA LUMPUR – Impian skuad hoki dalam dewan lelaki negara untuk memburu slot automatik ke Piala Dunia 2021 menerusi Piala Asia Dalam Dewan 2019 di Chonburi, Thailand tidak kesampaian apabila terkandas di saingan separuh akhir, hari ini.
Malaysia tewas 3-4 kepada Kazakhstan dalam saingan separuh akhir tersebut sekali gus terlepas peluang melangkah ke saingan akhir untuk merebut slot ke Piala Dunia buat kali pertama.
Dalam perlawanan tersebut Malaysia bermula garang apabila menjaringkan dua gol awal pada minit keempat menerusi Aminudin Mohd. Zain dan Shafiq Yaacob sebelum Kazakhstan mula merapatkan jurang menerusi gol pertama mereka hasil pukulan Yermek Tashkeyev pada minit ke-16.
Bermula babak kedua menyaksikan Malaysia tidak menunggu lama untuk menambah gol ketiga menerusi Firdaus Omar pada minit ke-22.
Gol ketiga Malaysia itu bagaikan tidak memberikan tekanan besar kepada Kazakhstan apabila lawan dilihat berupaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 dan ke-30 menerusi kapten, Daulet Urmanov malah tidak berdepan masalah mendapatkan gol keempat pada minit ke-34 hasil jaringan Tashkeyev.
Selepas ini Malaysia akan menentang Uzbekistan dalam aksi klasifikasi 3/4 pada esok manakala Kazakhstan di jadual bertemu juara bertahan, Iran di pentas akhir kejohanan.
Sementara itu, dalam saingan separuh akhir wanita pula menyaksikan skuad negara tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan Kazakhstan.
Gol tunggal skuad hoki dalam dewan wanita negara diperoleh menerusi Ellya Ellias pada minit ke-32 manakala dua gol Kazakhstan dijaringkan oleh Natalya Gataulina pada minit keenam dan Vera Domashneva pada minit ke-22.
Dalam saingan akhir Kazakhstan dijadual menentang Thailand pada esok manakala skuad wanita negara pula akan merebut tempat ketiga dalam aksi klasifikasi 3/4 pada hari sama menentang Uzbekistan. – UTUSAN ONLINE











