TAIPING 29 Julai – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 19 tahun bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 48 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya berusia 19 tahun yang mana hubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin di sebuah rumah di Rantau Panjang, Selama pada Jun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sariza mencadangkan tertuduh tidak dibenarkan jamin memandangkan tertuduh tinggal bersama mangsa.
Che Noralashiken kemudiannya tidak menbenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 September depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE











