KUALA LUMPUR 29 Julai – Masyarakat akan lebih menghormati adat dan kepercayaan Orang Asli sekiranya seluruh kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) menyambut baik cadangan untuk mengiktiraf ‘agama tradisi’ golongan tersebut.
Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, Orang Asli sememangnya memiliki agama berdasarkan kepercayaan kerohanian, tetapi masih ramai yang menganggap golongan berkenaan tidak mempunyai agama.
“Selama ini walaupun adat itu kita jadikan panduan kehidupan, tetapi masih ada pihak yang tidak menghormatinya.
“Misalnya kita lihat kubur nenek moyang Orang Asli kerap dirosakkan dan baru-baru ini ada pula pihak cuba menyekat adat tradisi menjalankan tanaman bergilir.
“Ini tidak baik kerana menurut kepercayaan Orang Asli, tradisi tanaman bergilir ada kaitan dengan alam roh,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, beliau akan bekerjasama dengan kerajaan bagi mengiktiraf agama tradisi Orang Asli.
“Saya akan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan Orang Asli dan mengemukakan perkara itu kepada kerajaan untuk mengiktiraf agama mereka, iaitu agama semulajadi, secara rasmi,” katanya yang memimpin portfolio perpaduan negara. – UTUSAN ONLINE











