KWSP rancang kembangkan portfolio hartanah di London - Utusan Malaysia

KWSP rancang kembangkan portfolio hartanah di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Julai – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan merancang untuk mengembangkan portfolio hartanahnya di London menjelang kemungkinan Brexit akhir tahun ini.

Menurut laporan Nikkei Asian Review, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri berkata, dana persaraan pekerja swasta itu sedang memuktamadkan beberapa perjanjian di United Kingdom (UK).

Beliau berkata, sektor pejabat di London masih memberangsangkan walaupun pasaran hartanah komersial di UK terjejas disebabkan potensi perjanjian Brexit tidak berlaku adalah tinggi, selain pelaburan di kawasan bangunan pejabat di tengah London yang susut lebih satu pertiga pada separuh pertama tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah masa untuk meneroka potensi di UK. Dalam tempoh jangka panjang, saya percaya London masih berdaya tahan.

“Ini juga membuktikan sektor berkenaan lebih kukuh daripada jangkaan penganalisis apabila UK mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada 2016.

“Sebahagian besarnya adalah disebabkan permintaan kukuh daripada pelabur luar negara khususnya pelabur Asia yang teruja dengan nilai mata wang pound yang lebih rendah, seterusnya memadamkan jangkaan yang suram,” katanya dalam temubual eksklusif berkenaan.

Mei lalu, KWSP mengambil alih kemudahan logistik peruncit terkemuka British, Sports Direct International pada harga AS$150 juta (RM621.5 juta).

Tambah Tunku Alizakri, walaupun piagam KWSP menetapkan 30 peratus daripada aset keseluruhannya perlu dilabur di luar negara, KWSP teruja untuk meningkatkan pelaburan asingnya dan menganggap UK adalah pilihan yang selamat.

Katanya, KWSP perlu merebut peluang yang ada dalam sektor hartanah, ekuiti dan pendapatan tetap di peringkat global kerana hanya ada beberapa aset yang berkualiti untuk dipilih.

“Kami perlu melabur di luar negara kerana di peringkat domestik (Malaysia), kami sudah melabur di hampir semua sektor ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini