PUTRAJAYA 29 Julai – Mulai tahun ini, kontrak Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) akan disediakan untuk tempoh dua tahun kepada pihak pengendali sekali gus dapat mempertingkatkan mutu pengangkutan awam di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah ini dapat membawa kepada rantaian kesan yang positif kepada golongan pengusaha bas serta pengguna terutama di laluan sosial di luar bandar.
Menurutnya, lanjutan kontrak berkenaan juga memberi kepastian kepada operasi syarikat bas henti-henti yang sebelum ini dibelenggu dengan kebimbangan sama ada kontrak mereka akan disambung atau sebaliknya sehingga memberi kesan kepada operasi.
“Pemberian kontrak dua tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan kepada pengendali bas henti-henti untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
“Dengan adanya kontrak untuk tempoh dua tahun ini juga akan memberi pengendali lebih keupayaan kewangan untuk menambah baik perkhidmatan dengan menambah serta menyediakan bas yang lebih baru dan juga menambah laluan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Bantuan Dana Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 52 syarikat bas henti-henti menandatangani perjanjian tersebut yang meliputi pengusaha dari Semenanjung Malaysia sementara bagi pengusaha di Sabah dan Sarawak, satu majlis berasingan akan dilangsungkan.
Beliau menambah, kontrak itu yang berkuat kuasa Januari 2019 hingga Disember 2020 dan pengusaha boleh membuat tuntutan bayaran untuk tempoh Januari hingga Jun kepada kerajaan bermula hari ini.
“Kita akan proses permohonan yang dihantar dan dijangka pembayaran akan dibuat pada pertengahan Ogos ini,” katanya.
Loke Siew Fook menjelaskan, bagi 2019 dan 2020 kerajaan menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM220 juta bagi tujuan tersebut.
“Ini bermakna peruntukan yang disediakan untuk 2019 sahaja adalah sebanyak RM110 juta, peningkatan sebanyak RM19 juta berbanding perbelanjaan pada 2018 berjumlah RM91 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE











