GUA MUSANG 18 Julai – Kerajaan merancang untuk mewujudkan pusat pembelajaran kepada kaum Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam pendidikan.
Penasihat kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mohamad Salmi Mohd. Sohod berkata, masyarakat suku Bateq itu perlu diberi pendidikan supaya lebih berilmu dan menerima perubahan yang dilakukan pihak kerajaan dalam hidup mereka.
Justeru, beliau berkata, agensi kerajaan yang berkaitan perlu memberi tumpuan ke arah pembangunan pendidikan Orang Asli dalam pelan jangka panjang.
“Saya sendiri sudah bercakap dengan ketua pengarah pendidikan supaya sebuah pusat pembelajaran disediakan supaya semua orang boleh belajar.
“Kita mahu Orang Asli bermula dari kecil sehingga dewasa mendapat asas literasi supaya membantu kita berinteraksi dengan mereka dan untuk mereka berdikari,” katanya kepada pemberita ketika Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh, di sini hari ini.
Pada program itu, Mohamad Salmi turut menyaksikan penyerahan 200 bungkusan makanan sumbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang dilakukan Oleh Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd. Rahman kepada wakil Orang Asli Bateq, Mohamad Pokok.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Nadma, Zakaria Shaaban dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.
Mohamad Salmi berkata lagi, buat masa ini, perkara paling penting ialah penjagaan kebersihan diri dan kampung harus diterapkan dalam diri Orang Asli suku Bateq.
Katanya, Orang Asli perlu berubah dengan membudayakan penjagaan kesihatan dan pembersihan kampung.
“Isu yang ditimbulkan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap Orang Asli adalah tidak benar.
“Pejabat Timbalan Perdana Menteri sendiri telah bekerjasama dengan semua agensi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan timbal balik daripada Orang Asli supaya mereka berubah dalam kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











