‘Keputusan yang kejam’ - Utusan Malaysia

‘Keputusan yang kejam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kekalahan Perak di tangan Kedah pada final Piala FA 2019 disifatkan sebagai satu keputusan yang kejam oleh penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Juara Piala Malaysia 2018 itu tewas 0-1 disaksikan 83,520 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan akhir yang berlangsung selama 120 minit selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam 90 minit masa permainan sebenar.

Ketika ditemui selepas perlawanan semalam, Hafizul, 26, menyifatkan Perak mendominasi permainan dengan baik, selain mencipta banyak peluang menjaringkan gol dan kegagalan menyempurnakan segala peluang terhidang itu membuatkan kekalahan tersebut amat perit untuk ditelan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang kami kecewa sebab bagi saya ini merupakan satu keputusan yang cukup kejam sebab kalau tengok perlawanan malam ini pasukan telah berikan sehabis baik…semua pemain yang turun beraksi memberikan segalanya yang mereka ada.

“Perlawanan malam ini bukan mudah dan kita tahu ia akan menjadi cukup sengit. Tahniah buat pasukan Kedah…walaupun tak bawa balik piala, saya tetap bersyukur sebab sekurang-kurangnya kami melangkah ke final tahun ini,” katanya.

Pada aksi semalam, jaringan pemain gantian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 menjulang Kedah untuk muncul juara Piala FA 2019, sekali gus meranapkan impian Perak bagi menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2004.

Meskipun tewas, Hafizul layak diberi pujian atas prestasi terbaik ditampilkan sepanjang aksi dengan bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kedah termasuk situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Farhan Roslan dan Jonatan Jesus Bauman pada minit-minit akhir perlawanan.

Menurut Hafizul, kekalahan tersebut sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna buat Perak. Katanya, semua pemain perlu melupakan kekecewaan itu dan memberikan tumpuan terhadap saingan Piala Malaysia yang bermula, Jumaat ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini