KUALA LUMPUR 15 Julai – Kementerian Kewangan tidak pernah memberi sebarang arahan untuk merampas dana kira-kira RM1 bilion yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, arahan mengenai rampasan itu mungkin perlu dirujuk kepada agensi penguatkuasa, bukannya Kementerian Kewangan.
“Saya hanya mahu beritahu Kementerian Kewangan dan diri saya sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan untuk merampas dana itu.
“Sekiranya ada rampasan dilakukan, anda boleh merujuk kepada agensi penguatkuasa. Itu sahaja yang saya mahu cakapkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sabtu lalu, media Singapura melaporkan, pihak berkuasa Malaysia telah merampas S$328 juta (RM993.3 juta) yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP).
Memetik laporan berkenaan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengarahkan syarikat perbankan gergasi global, HSBC supaya memindahkan dana yang berada dalam akaun CPP di Malaysia ke dalam Suria Strategic Resources Sdn. Bhd. iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, awal bulan ini. – UTUSAN ONLINE









