LONDON – Musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) belum bermula namun penyerang Manchester United, Alexis Sanchez sudah pun mengutip ‘kad kuning’ pertamanya.
Pemain Chile itu menyedari dia dikenakan saman ketika mengambil keretanya di Wilmslow selepas pulang dari London menaiki kereta api.
Pemain berusia 30 tahun itu dikenakan saman parkir 60 pound (RM300) ketika rakan sepasukannya dalam perjalanan balik dari Norway selepas menewaskan Kristiansund 1-0 pada aksi persahabatan, semalam.
Sanchez, memandu Bentley Betayga bernilai 160,000 (RM800,000) tidak menyertai United ke Norway bagi kempen pra musim berikutan dia diberi pelepasan oleh bos United, Ole Gunnar Solskjaer.
Dia baharu sahaja beraksi dalam kempen Copa America yang menyaksikan perjuangan Sanchez bersama Chile terhenti setakat peringkat separuh akhir kejohanan. Sanchez menerima kecederaan hamstring daripada kejohanan tersebut.
United berharap Sanchez dapat menyertai pasukan tepat pada masanya sebelum musim baharu bermula berikutan Red Devils akan bertemu Chelsea dalam aksi pertama EPL pada 11 Ogos ini. – AGENSI











